Saturday, August 16, 2014

Isu semasa dan tuntutannya ke atas masyarakat

Dalam tempoh 3 minggu lepas, ada beberapa perkara yang memenuhi ruangan newsfeed akaun facebook saya. (1) Isu boikot consumer product yang mana producers kepada products tersebut menyalurkan sumbangan kepada rejim zionis. (2) Isu penglibatan Pertubuhan IKRAM dalam Negara-Ku. (3) Isu politik di Selangor. Saya mungkin mempunyai pandangan saya sendiri dalam ketiga-tiga perkara ini tetapi ia bukanlah tujuan penulisan saya pada hari ni. Apa yang lebih menjadi perhatian saya ialah tuntutan intektual ke atas rakyat biasa dalam kesemua isu ini dan juga tuntutan untuk mereka berhujah dengan kadar intelektual yang mereka miliki.

Ia menimbulkan keresahan pada diri saya. Dulu, saya bertegas dengan emak saya bahawa McD itu boleh dimakan kerana ada logo halal JAKIM. Selepas saya mula menyertai kempen boikot, saya bertegas pula McD itu menyumbang kepada rejim zionis. Sifir saya senang. Saya percaya pada JAKIM. Mereka kata halal, maka ia halal. And then saya percaya pada Aqsa Syarif. Mereka kata boikot, maka saya boikot. Sekarang tuntutannya berbeza. Saya perlu jelas mengapa perlu boikot, efektif ke boikot, betul ke senarai yang dikeluarkan Aqsa Syarif, kenapa tak boikot semua, dan sebagainya. Kalau tak, maka saya boleh menjadi pengikut trend yang hanya mengikut secara membuta tuli.

Itu baru pasal boikot. Pelbagai lagi kegelisahan yang timbul dalam diri ini mengenai pelbagai isu lain yang banyaknya tidak disenaraikan pada permulaan post ini.

Saya bukanlah menentang keperluan penyebaran ilmu. Saya juga sedar akan tuntutan menuntut ilmu ke atas seorang muslim. Malah saya menyokong banyaknya majlis-majlis intelektual yang ada sama ada di Malaysia mahupun di negara-negara lain.

Dan kegelisahan saya ini sebenarnya banyak telah disuarakan oleh Ustaz Hasrizal melalui penulisannya di blog saifulislam.com. Saya percaya ustaz Hasrizal telah berjaya menyampaikan kegelisahan saya dalam hujah, bahasa dan anologi yang sangat baik. Yang saya sendiri tidak mampu lakukan. Saya senaraikan beberapa artikel yang saya rasakan relevan dalam menjelaskan kegelisahan ini. Jika tak berkesempatan untuk baca semua, bacalah salah satu daripada mereka. InshaAllah setiap satu ada menggambarkan sebahagian atau keseluruhan perasaan saya.

1. Keraguan: Adakah ia Jalan Islah?
2. Jangan Sampai Tiada Lagi Kebahagian dalam Beragama
3. Beragama dengan Akal yang Sihat
4. Tulisan dan Lisan: Tangan Menjadi Lidah di Akhir Zaman
5. Takutilah Fitnah Ilmu dan Tahu

Dalam kita hebat menggalakkan percambahan intelektual, ketahuilah tidak semua mampu. Jangan sampai disebabkan ketidakmampuan ahli sesebuah organisasi untuk memahami keputusan yang diambil oleh kepimpinan mereka, kita merendah-rendahkan pula individu atau organisasi tersebut. Pujilah usaha mereka yang kita persetujui.

Mintalah pula hujah daripada orang yang kita ketahui kemampuan mereka untuk memberikan jawapan. Daripada kepimpinan dan juga cendekiawan dalam organisasi tersebut. Jika mereka tidak sudi memberikan jawapan, jangan dialihkan tanggungjawab itu kepada ahli pula. Bagi mereka yang sudah lama melibatkan diri dalam gerakan islam, anda mungkin pernah berada dalam satu gerakan yang sama dahulu. Kini mungkin blok-blok dalam gerakan tersebut zahir perbezaannya dan menghasilkan gerakan-gerakan yang berbeza. Sekiranya anda dari gerakan A, atas dasar ukhuwah yang anda laungkan sampai sekarang, hubungilah kepimpinan daripada gerakan B yang saya percaya anda kenali lebih berbanding kader-kader gerakan A sendiri.  

Ada ahli-ahli yang mampu memahami tindakan kepimpinan mereka atas kapasititi intelektual yang mereka miliki, tetapi mereka tidak mampu menyampaikan keyakinan mereka dalam bahasa yang mampu difahami orang lain. Saya sendiri, walaupun mampu menyelesaikan soalan pengamiran di sekolah dahulu, berkali-kali gagap dalam memahamkan orang lain mengenai teknik tersebut. Faham tapi tak tahu bagaimana nak dijelaskan.

Ada pula ahli yang mampu memahami dan mampu menjelaskan tetapi mereka bukanlah autoriti untuk menyuarakan pendirian organisasi. Kita lihat sendiri konflik yang berlaku di Selangor apabila dua adun PAS bertindak menyatakan pendirian masing-masing tanpa menunggu kata putus. Mereka mungkin benar, mereka mungkin salah. Tetapi saya melihat ini sebagai hasil apabila ramai yang memindahkan beban berkata-kata daripada kepimpinan organisasi kepada ahlinya.

Saya yakin ramai yang faham konsep taqlid dan keharusannya bagi mereka yang tidak berilmu. Jangan sempitkan ruang itu. Dalam menentang gejala taqlid buta sekalipun, jangan sampai kita terus menutup ruang tersebut.

Allahua'lam.

1 comment:

Anonymous said...

Mantap