Sunday, December 6, 2015

Erti sebuah kemaafan

Dalam kehidupan kita, banyak perkara yang berlaku adalah hasil daripada tindakan kita sendiri. Sebagai contoh, seorang lelaki disahkan menghidapi diabetes akibat daripada kegagalannya menjaga pemakanan. Sampai ke suatu tahap, walau luka yang kecil boleh membawa kepada kesan yang besar sehingga dalam sesetengah kes, kaki atau tangan terpaksa dipotong untuk mengelakkan penularan bakteria dalam badan. Sungguhpun ini disebabkan oleh luka yang mungkin tak dijangka, sukar untuk dia tidak menyalahkan diri sendiri kerana kesilapan lampau. Makan sesuka hati dan akhirnya terpaksa merana seumur hidup,

Ada juga perkara yang berlaku di luar kawalan kita. Namun kesannya memberikan impak yang boleh mengubah arah kehidupan kita. Sebagai contoh, seorang wanita menghidap kanser payu dara. Beliau selama ini menjaga pemakanan, tidak merokok, bersenam dan mengekalkan pelbagai gaya hidup yang sihat. Tetapi takdir mendahuluinya dan dia disahkan menghidap penyakit tersebut. Antara tindakan yang terpaksa diambil pada satu tahap ialah untuk memotong terus payu dara wanita tersebut bagi mengelakkan sel kanser daripada terus merebak.

(Kanser payudara ialah kanser yang sentiasa on top of the list dalam kalangan wanita. Di Prudential, setakat data yang saya ada bermula 2013, 37% ke 52% tuntutan yang dibuat ke atas penyakit kanser adalah disebabkan kanser payu dara. Lelaki juga berisiko untuk menghidap kanser ini)

Selain itu, ada juga perkara yang diluar kawalan kita akan tetapi ia disebabkan oleh tindakan orang lain. Sebagai contoh, pada May 2015, ada kejadian di mana beberapa orang mengambil tindakan yang tidak wajar dan berlumba di lebuh raya DUKE yang juga digunakan oleh orang lain. Akibat daripada perlumbaan itu, berlaku kemalangan dan akhirnya sepasang suami isteri dan anak mereka mati akibat kemalangan tersebut. Ada juga kes yang mana pesalahnya dengan jelas berniat untuk melakukan kesalahan tersebut. Kes-kes jenayah seperti rompak, pecah masuk rumah, rogol, culik, dan bunuh, to name some of them, juga berlaku dengan banyaknya di sekeliling kita.

Di samping itu, ada juga kes yang kelihatan seolah-olah insignificant tetapi membawa kesan yang besar dalam kesihatan mental seseorang. Neglected childhood, perceraian, perpisahan, pergaduhan dalam keluarga, khianat, dan sebagainya ini mungkin tidak membawa kepada kehilangan anggota badan ataupun nyawa. Akan tetapi kesihatan mental dan emosi itu sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.

Dengan pelbagai perkara yang berlaku ini, amat penting untuk kita memahami satu perbuatan yang boleh membantu kita menghadapi musibah dan malapetaka dalam kehidupan kita. Itulah ia kemaafan

Menurut ahli psikogi Sonja Lyubomirsky, kemaafan ini boleh diertikan sebagai satu perubahan cara fikir terhadap seseorang yang telah melakukan kesalahan terhadap kita. (Dan seseorang itu boleh jadi adalah diri kita sendiri). Ia adalah satu deliberate action yang mana kesan minimumnya menyebabkan dendam kita terhadap orang itu (atau diri sendiri) berkurang dan, pada satu tahap yang lain, keinginan untuk berbuat baik terhadap orang lain (and again, atau diri sendiri) bertambah.

Memaafkan adalah satu internal state yang boleh jadi membawa kepada external action dan boleh jadi tidak. Boleh jadi, selepas kita memaafkan, kita dapat berjumpa dan berbual pesalah seolah-olah tidak pernah terjadi perselisihan antara dia dan kita. Boleh jadi juga, selepas kita memaafkannya, kita tetap mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

Memaafkan bukan bermaksud kita melepaskan seseorang daripada apa yang patut ditanggungnya, walaupun kita boleh jika kita mahu.

Memaafkan juga bukan bermaksud kita melupakan apa yang terjadi kepada diri kita. Apakah mungkin seorang anak yang kehilangan ibu bapanya dalam sebuah kemalangan akibat kecuaian seorang pemandu lain boleh melupakan kehilangan tersebut dengan mudah? Akan tetapi, adalah mungkin untuk anak itu mengingati kehilangan ibu bapanya tanpa merasai perasaan benci terhadap pesalah tersebut.

Jadi, jika akhirnya tindakan kita ke atasnya masih sama, apakah maknanya kemaafan tersebut?

Pernah ke anda berasa marah sehingga anda tidak mempunyai satu perasaan positif pun terhadap seseorang? Anda hendak dia terseksa sebagaimana seksanya anda. Sekiranya dia menyebabkan anda bercerai dengan isteri anda, di setiap malam anda tidur tanpa isteri anda, apa yang anda inginkan hanyalah agar dia merasai kesakitan anda, merasai betapa peritnya hari-hari yang anda lalui. Sekiranya anda adalah mangsa kepada sebuah keluarga yang tidak berfungsi, anda mahu memberontak agar ibu bapa anda mengetahui perasaan dan kegelisahan anda, biarpun selepas mereka sudah bercerai. Itulah dendam.

Memaafkan bererti kita melepaskan diri kita daripada satu bebanan emosi yang negatif. Dendam itu sifatnya memakan diri. Kerana dendam, tidur malam kita terganggu. Kerana dendam, keluarga bercerai-berai. Dengan memaafkan, kita akan berasa lebih positif dalam kehidupan seharian kita.

Bagaimana untuk memaafkan?

Saya memetik tips ini daripada laman sesawang This Emotional Life. Malah sebenarnya, keseluruhan artikel ini menceduk panduan daripada laman sesawang tersebut.

Dr Everett Worthington telah membentuk satu proses untuk memaafkan dengan menggunakan lima langkah. Ia dipanggil REACH

R ialah Recall. Cuba ingat kembali kejadian yang berlaku tersebut dengan setepat dan seobjektif mungkin. Buangkan segala tafsiran anda berkenaan niat pesalah tersebut. Fokuskan kepada apa yang sebenarnya berlaku. Sekiranya kejadian itu adalah beberapa siri yang panjang dalam kehidupan anda, fokus kepada beberapa siri kejadian yang sangat menggangu anda.

E ialah Emphatize. Cuba memahami sudut pandang pesalah tersebut. Ia mungkin membantu jika anda dapat bercakap sendiri dengan pesalah tersebut terutamanya jika dia telahpun menyesal. Fahami segala yang dilaluinya pada masa kejadian itu berlaku, sebelumnya atau selepasnya. Langkah ini bukanlah untuk menjustifikasikan kesalahan dia terhadap anda, akan tetapi agar anda dapat memahami dia dan dapat membentuk satu ikatan kemanusian dengannya.

A ialah Altruistic gift of forgiveness. Cuba ingat kembali kesalahan-kesalahan anda yang pernah anda lakukan kepada orang lain. Yang mungkin tidak dihukum. Yang mungkin mengakibatkan kesakitan kepada orang lain. Akan tetapi anda tetap dimaafkan. Berilah kemaafan tersebut juga kepada pesalah di dalam kisah anda.

C ialah Commiting youself to forgive publicly. Buatlah apa sahaja. Tulis di dalam blog, beritahu kawan anda, tulis dalam journal, atau, jika boleh, beritahu pesalah itu sendiri bahawa anda memaafkannya. Jika anda ingin tetap mengambil tindakan selepas ini, biarlah ia jelas bahawa anda tidak berdendam.

H ialah Holding onto forgiveness. Memaafkan bukan bermaksud kita melupakan. Dan memaafkan bukan bermaksud perasaan sakit dan benci itu tidak akan datang kembali. Oleh itu, apabila perasaan itu datang, ingatlah bahawa anda telah memilih untuk memaafkan.