Tuesday, April 22, 2014

Mozek

**********
   "Jade"
   "Hmm?" Hujung penselnya terus berlari.
   "Nak tanya?"
   "Apa?"
   "Kenapa kau selalu lukis cerita ala-ala depressed ek?"
   Trisy dipandang sekilas. Gadis itu memandangnya menanti jawapan. "Batrisya, selalunya seorang artist tu akan throw idea dia dalam dua bentuk je." Hujung penselnya kembali berlari di dada sketchbook. 
   Trisy menunggu Jade menyambung. 
   "Either dia lahirkan satu dunia yang dia nak tapi tak tercapai, atau dia throw out perasaan yang dia tau too well. Dan selalunya akan dikaburi dengan claim yang dia sebenarnya..." Sekilas dia memandang Trisy sebelum kembali pada lukisan di tangan. "...hanya keluarkan idea dengan ilham daripada apa yang dipandangnya di sekeliling dia."
Directly quoted from "Rooftop Rant" by Hlovate
**********

Setiap perkara mempunyai cerita di sebaliknya

**********
Sekeping mozek itu tidak dicipta untuk berseorangan. Kalau berseorang, biarlah cantik macam mana pun, hebat macam mana pun, ia tidak mampu menghasilkan manfaat sebanyak mozek yang disusun. Silap-silap, disepak dipijak lama-lama ia menyerpih dan pecah. Terbuang. Orang akan terfikir, apa punya mozek duduk seorang diri? Apa beza dia dengan sampah. Sekeping mozek tak boleh membina lantai, sedang tujuan kewujudannya ialah menjadi lantai!

Mozek yang disusun, mungkin ada retaknya, mungkin ada pecahnya, tapi orang akan faham, ia dah laksanakan tugasnya, ia sedia untuk dibaiki!

Begitulah kita umat Islam. Kita tak dicipta untuk hidupkan Islam seorang diri. Bila umat dijangkit virus nafsi nafsi, jadilah mereka mozek yang bertaburan. Ada yang cantik, berkilat, tapi tak berguna sebab tak mahu disusun. Umat ini pun disepak. Diinjak, pecah. Ditinggalkan untuk dikotori habuk jalanan, siapa mahu membersih mozek yang tidak menjadi lantai?

Kita dicipta untuk saling melengkapi, membangun Islam yang syumul. Jihad sebahagian dari Islam, tapi bila umat individualistik habis Jihad jadi terorisma. Dakwah jadi kerja pak Ustaz sahaja. Pak Ustaz pun individualistik fikir nak isi perut sahaja. Hudud tercampak ke laut, ya lah, zakat tak settle lagi, pendidikan entah hapa-hapa, non muslim digerunkan dengan syariah yang konon kilang sup tangan, demi menjaga kepentingan pemimpin berperut buncit. Mindset umat berhibur, berhibur dan berhibur. Dah jadi haiwan liar, fikir nafsu dan nafsi nafsi. Islam dicincang lumat jadi solat dan selawat sahaja. 

Tujuan kewujudan kita menjadi khalifah, menegak hukum Allah. Mustahil hukum Allah itu boleh ditegak seorang diri. Kau tu cuma mozek kau tahu tak? Sekeping, seorang diri, tak diguna, kau cuma sampah dunia!
Dipetik daripada facebook akh Eirfan

**********

Saya yakin bahawa penulisan Eirfan ini mempunya cerita tersendiri disebaliknya. Dia mempunyai perkara yang ingin dia sampaikan. Dia mempunyai sebab tersendiri untuk menyusun kata-katanya menjadi sedemikian rupa. Dia juga mempunyai satu kumpulan sasaran untuk penulisannya.

Saya tidak berniat untuk mengkritik penulisannya. Sungguh. Dia seorang yang aktif menulis dan alhamdulillah saya telah mendapat banyak manfaat daripada penulisannya. Namun, tulisannya kali ini membuatkan saya berfikir lama.

Saya kira diri saya umpama seperti sekeping mozek yang, alhamdulillah, sedar bahawa dirinya tidak boleh wujud berseorangan. Kewujudan saya perlu disudahi dengan menjadi salah satu daripada kepingan-kepingan mozek yang ingin menjadi lantai. Tetapi, tidak seperti mozek, saya mempunyai pilihan dan akal sendiri. Dan itu menjadikan segalanya berbeza.

Mozek perlu membenarkan dirinya diwarnakan. Merah, biru, hitam, putih, warna-warni.
Ia perlu membenarkan dirinya dipotong-potong. Dipotong dua atau segi tiga.
Ia perlu membenarkan dirinya diambil sepenuhnya atau diambil sedikit untuk memenuhi lompong-lompong yang tak dapat diisi kepingan lain dan selebihnya dibuang.
Ia boleh diletakkan di mana-mana mengikut kesesuaian. Di bilik tidur, ruang tamu, dapur, balkoni, tandas.

Bayangkan sekiranya mozek-mozek ini mempunyai mulut dan perasaan. Mungkin akhirnya kebanyakan rumah kita tidak lagi berlantaikan mozek tetapi hanya simen atau kayu. Itu pun jika simen dan kayu itu tak punya perasaan.

Apa sebenarnya yang ingin saya sampaikan?

Di sebalik seruan kita kepada seluruh manusia untuk bangkit dan sedar bahawa kehidupan kita punya tujuan dan ia bukan hanya bersifat nafsi nafsi, kita perlu sedar bahawa seruan kita itu akhirnya akan meletakkan sebahagian kita sebagai pemimpin sebahagian yang lain. Manusia itu perlu diyakinkan bahawa individu-individu yang akan menyusun atur kehidupan mereka untuk kepentingan bersama ini bukanlah individu yang tidak punya perasaan. Individu-individu tersebut perlu menunjukkan betapa mereka memahami perasaan manusia di bawah pimpinan mereka. Betapa mereka berkongsi inspirasi yang sama.

Betapa mereka memahami bahawa menjadi sekeping mozek di lantai tandas sangat berbeza dengan menjadi sekeping mozek di bilik tidur. Kedua-duanya penting. Satu mungkin tidak mempunyai kelebihan berbanding yang satu lagi. Tetapi cerita hidup mereka tetap tidak sama.


No comments: