Monday, January 18, 2016

Mengurus Elemen Perasaan Dalam Dakwah

Ada seorang akh menghantar satu teguran kepada salah satu group whatsapp ikhwah, yang mana saya ialah diantara ahlinya.


Persoalan yang dilontarkan oleh al akh tersebut ialah "agree? disagree? apa pendapat ikhwah?" Ia adalah soalan yang mudah tetapi jawapannya menuntut justifikasi yang kukuh. Ada beberapa perkara yang perlu saya nyatakan sebelum saya memberikan justifikasi yang lebih lanjut terhadap jawapan saya.

Yang pertama, saya tidak mengenali siapa penulis asal teguran ini. Saya tidak mengenali corak penulisan beliau. Saya juga tidak mengetahui adakah beliau seorang yang amat berhati-hati dalam pemilihan perkataan yang digunakan. Oleh itu, wajar sekali saya tidak meletakkan asal usul teguran ini. Semoga dengannya, sedikit teguran balas saya ini dapat diambil dengan hati yang terbuka.

Yang kedua, saya menafsirkan terasa hati yang digunakan oleh penulis ialah satu bentuk perasaan, bukan satu bentuk tindakan. Ini konsisten dengan perkataan rasa yang digunakan oleh penulis pada perenggan kedua.

Yang ketiga, saya tidak pasti apakah tujuan penulis menggunakan inverted commas pada frasa terasa hati dan juga pada perkataan manja. Oleh itu, saya menganggap penulis menggunakannya untuk memberi penekanan kepada frasa dan perkataan tersebut.

Sejujurnya, saya tidak bersetuju dengan teguran ini. Saya bukan menolak teguran ini secara total. Ada mesej yang boleh diambil. Akan tetapi, saya merasakan ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan dengan lebih lanjut.

1) "Sedangkan mereka yang bekerja untuk Allah tidak boleh hadir rasa yang begitu"

Perasaan bukanlah satu perkara yang mudah untuk kita kawal. Ia hadir begitu sahaja tanpa kita sedari. Ambil sahaja contoh perasaan cinta. Ia boleh hadir hanya dengan pandangan pertama. Ia juga boleh hadir begitu sahaja diantara dua orang yang telah lama bersahabat baik. Begitu juga perasaan benci. Bukanlah satu perkara yang pelik bila timbul rasa benci terhadap seseorang walaupun baru pertama kali berjumpa.

Ia juga boleh terhasil daripada pengalaman yang kita lalui sejak kecil, persekitaran di mana kita hidup serta interaksi antara kita dan mereka yang berada di sekeliling kita. Untuk seseorang yang mana hidupnya dipenuhi kebencian dan abusal sejak daripada kecil, maka kecenderungannya untuk membenci orang lain yang hadir dalam hidupnya adalah lebih tinggi walaupun dia telah keluar daripada situasi tersebut.

Analogi yang sama juga boleh digunakan untuk orang yang melakukan dosa. Melakukan dosa itu satu perkara yang tabii. Semua orang yang tidak maksum melakukannya. Akan tetapi, kecenderungan untuk melakukan sesetengah dosa adalah lebih tinggi bagi sesetengah orang berbanding yang lain. Sebagai contoh, sesetengah orang cenderung untuk minum arak kerana ahli keluarganya banyak meminum arak. Oleh itu, walaupun dia telah bertaubat dan  telahpun keluar daripada persekitaran tersebut, kecenderungannya untuk mengulangi kesalahan tersebut masih lagi tinggi disebabkan oleh pengalamannya.

Kecenderungan dan juga perasaan bukan sesuatu yang boleh kita kawal kehadirannya.

2) Oleh itu, saya membezakan di antara perasaan dan tindakan. Seseorang itu boleh terasa hati dengan tindakan orang lain. Dia juga boleh terasa hati dengan tindakan/layanan sekelompok manusia terhadapnya. Tidak patut untuk seseorang itu rasa bersalah di atas perasaannya. Akan tetapi, dia boleh mengawal perasaan dan tindakannya, setelah ia hadir. Dalam hal ini, saya suka untuk merujuk kepada kaedah untuk menghadapi anxiety dan depression yang saya rasa banyak resources-nya secara online. Saya secara peribadi suka merujuk kepada psychcentral.com dalam isu-isu berkitan mental health ini.

Bukanlah tujuan saya menulis post ini untuk merungkaikan cara menghadapi perasaan - ianya satu proses yang panjang - akan tetapi saya ingin menegaskan bahawa hadirnya sesuatu perasaan itu adalah tabii. Apa yang boleh kita lakukan adalah mengawal perasaan tersebut daripada menjadi satu bebanan kepada diri kita ataupun daripada menjadi satu tindakan yang bakal kita sesali di masa hadapan.

3) "...kerja-kerja dakwah yang berat ini tidak boleh dipikul oleh mereka yang 'manja'."

Saya berpendapat, penulis mengatakan bahawa orang yang mudah terasa hati ini orang yang manja. Oleh itu, orang yang mudah terasa hati ini tidak mampu untuk memikul kerja-kerja dakwah. Allahua'lam. Saya merasakan ini adalah hukuman yang berat. Perasaan ini mungkin hadir kerana saya sendiri mudah terasa hati. Bukan sekali dua dalam keterlibatan saya bersama organisasi dakwah, saya terasa hati dengan tindakan orang lain. Malah, pernah saya bertindak di luar kawalan di atas perasaan tersebut. Akan tetapi, saya sentiasa berharap keberadaan saya bersama organisasi dakwah ini berkekalan sehingga ke akhir usia. Oleh itu, saya berharap agar kita semua lebih berhati-hati dalam menjatuhkan hukuman kepada orang lain atas tindakan mereka, apatah lagi di atas perasaan mereka, yang bukanlah berada dalam kawalan mereka. Ini bertepatan dengan kisah yang dibawa oleh Ustazah Maznah Daud ini. Allahua'lam


Selain itu, suka juga saya memetik daripada Lenora Thompson, seorang kolumnis di psychcentral.com bahawa "...my emotions were simply inconvenient for him, but not invalid." Pada banyak keadaan, perasaan seseorang itu bukanlah tidak penting atau tidak sepatutnya timbul, tetapi menguruskan perasaan orang itulah yang menjadi satu kesulitan buat kita. Sedangkan kesulitan tidak sepatutnya menjadikan kita menidakkan permasalahan tersebut. Kita sewajarnya mengambil tindakan untuk mengurusakan permasalahan hati ini. Apatah lagi, antara perkara yang mengikat seseorang itu kepada dakwah ialah hatinya.

4) Saya bukanlah menidakkan mesej yang ingin disampaikan oleh teguran ini. Apa yang saya fahami, mesejnya ialah agar seseorang itu memiliki kelapangan hati dalam berhadapan dengan orang lain sama ada dalam organisasi dakwah mahupun dalam masyarakat yang didampinginya. Ini bertepatan dengan ayat al quran

"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata... " [18:28]"
Begitu juga dengan hadis

"Seorang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar atas perangai buruk mereka lebih besar pahalanya daripada seorang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak sabar dengan perangai buruk mereka" (hadis riwayat Tarmizi)
Akan tetapi, saya mengharapkan perkara-perkara yang saya nyatakan di atas juga menjadi perhatian dalam menyampaikan mesej ini. Allahua'lam


No comments: