Friday, March 7, 2014

Perbezaan pendapat

Saya pernah diminta untuk berkongsi satu hadis yang menggalakkan kita untuk berani berlaku/berkata benar dalam perkara yang kita lakukan. Maka, saya terus teringat kepada kisah Ka'ab bin Malik (ra) yang menceritakan sendiri kisah beliau (ra) yang tertinggal daripada menyertai perang Tabuk. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim (rh) ini, ada tiga orang sahabat (ra) termasuk Kaab bin Malik (ra) sendiri yang tertinggal daripada perang Tabuk. Ketiga-tiga mereka (ra) memberikan jawapan yang benar kepada Rasulullah saw walaupun selepas itu mereka (ra) berhadapan dengan hukuman yang telah diperintahkan Allah swt melalui Rasulullah saw. Ini adalah satu manifestasi kepada keberanian berlaku/berkata benar walaupun akibatnya adalah kepahitan kepada diri sendiri.

Seperti biasa juga, saya seorang yang suka keluar daripada topik apabila diberikan sesuatu tugasan. Saya cuba menambah perisa kepada perbincangan dengan mengatakan bahawa ada masanya, ada kebenaran yang tak perlu disampaikan walaupun tanpa ragu, inshaAllah, ia adalah kebenaran. Contoh yang saya bawakan pada masa tersebut ialah apabila kebenaran berhadapan dengan kebenaran. Ini bukanlah pertembungan antara haq dan batil yang menjadikan bebanan haq yang ada pada bahu kita perlu dizahirkan. Tetapi ia adalah pertembungan penafsiran yang berbeza terhadap sesuatu yang memang dipersetujui kebenarannya. Contoh lebih tepat yang saya bawakan ialah apabila berlaku perbezaan pendapat dalam perkara-perkara yang berbentuk fekah seperti solat. Ia nampak senang. Saya berpegang kepada mazhab/pendapat yang saya ikuti dan anda berpegang kepada mazhab/pendapat yang anda ikuti.

Tetapi bagaimana pula bila di dalam solat jemaah yang mana imamnya berpegang kepada mazhab/pendapat yang berlainan daripada mazhab/pendapat kita, dan pada satu masa melakukan sesuatu perkara yang sah di dalam mazhab/pendapat yang dipegangnya tetapi tidak sah dalam mazhab/pendapat yang kita pegang? Saya tidak bermaksud untuk menimbulkan kekeliruan dengan membawa soalan-soalan berbentuk khilaf dalam fekah, tetapi ini adalah contoh terbaik yang dapat saya fikirkan untuk pertembungan penafsiran dalam perkara haq. Satu khilaf yang tidak boleh diketepikan dengan mudah kerana ia melibatkan perkara usul seperti solat. Ia juga tidak boleh diselesaikan dengan berpegang kepada pendapat masing-masing kerana ia boleh mebatalkan solat berjemaah, dan sekiranya dilakukan dengan sengaja, boleh membatalkan solat.

Jadi, apa yang perlu dibuat dalam situasi solat jemaah ini? Maaf, saya tiada jawapan mudah. Ia banyak bergantung kepada situasi sebenar. Ia memerlukan keilmuan dalam persoalan fekah untuk menjawabnya.

Apa yang saya cuba sampaikan di sini sebenarnya adalah keperluan untuk kita mendalami ilmu dalam soal perbezaan pendapat dalam perkara yang haq. Ia bukan semudah berlapang dada sahaja, walaupun berlapang dada itu sebenarnya tidaklah mudah. Sekiranya ia semudah itu, maka tiadalah pertembungan antara gerakan-gerakan yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan mereka. Semua boleh buat kerja masing-masing. Tetapi hakikatnya, pertembungan ini berlaku. Dan pertembungan penafsiran keatas perkara haq ini bukan sahaja berlaku antara organisasi, malah ia berlaku di dalam sesebuah organisasi yang sama.

Perkara ini memerlukan kita untuk mengetahui perkara-perkara asas dalam Islam, yang mana tanpa mereka, kita akan terkeluar daripada Islam. Ia memerlukan kita untuk mengetahui perkara-perkara asas dalam perjuangan gerakan kita, yang mana tanpa mereka, perjuangan kita akan terkeluar daripada perjuangan gerakan kita. Ia memerlukan kita untuk mengetahui perkara-perkara yang mana ia adalah ijtihad yang dilakukan oleh mereka yang terlebih dahulu melalui jalan ini. Ia memerlukan kita untuk berani merubah ijtihad apabila keadaan memerlukan kita untuk merubahnya. Dan bagi saya, paling penting, ia memerlukan kita untuk berani mendengar dan menganalisa pendapat yang berbeza daripada pendapat kita. Ia bukanlah perkara yang senang dan ia tidak sepatutnya dipermudahkan dengan hanya berkata "berlapang dadalah."

Di dalam sebuah kelas sosiologi yang sedang saya pelajari sekarang, professor saya sangat bersifat terbuka dan meraikan pendapat rakan-rakan sekelas saya. Dia akan memberikan peluangkepada rakan-rakan sekelas saya untuk memberikan pendapat masing-masing walaupun kadang-kadang dia tidak sempat menghabiskan ayatnya. Sepanjang perbincangan kami, dia sangat berhati-hati agar kami tidak bersifat dismissive terhadap pengalaman dan pendapat orang lain. Walaupun ia nampak janggal pada tanggapan kami. Kami perlu menghargai (read: acknowledge) bahawa hanyalah disebabkan kami tidak bersetuju dengan satu-satu pendapat atau kami tidak merasakan pendapat tersebut tidak perlu diberikan perhatian yang banyak, tidak bermaksud pendapat itu boleh ditolak ke tepi.

Marilah kita sama-sama belajar bagaimana seharusnya kita bertindak apabila perbezaan pendapat berlaku. Kita tidak ingin wujudnya golongan reaktif yang tidak mampu bertolak ansur walaupun pada perkara khilaf. Kita juga tidak mahu wujudnya golongan lemah yang membenarkan semua pendapat walaupun pada perkara usul. Apa yang kita mahukan ialah wujudnya golongan sebagaimana yang dimaksudkan dalam ayat

"...dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)..."
Quran 48:29 - Terjemahan diambil daripada quran.com

Pernah sekali, di dalam kelas sosiologi saya, ada seorang rakan ini mengeluarkan pendapat yang sedikit berbaur perkauman. Professor tersebut terus mematikan ayat rakan tersebut dan memberikan amaran untuk menghalaunya keluar sekiranya ia berlaku lagi.

No comments: